Sunday, July 26, 2009

wood carving assignment

Antara beberapa bahan rujukan yang saya telah kaji mengenai kayu halus, salah satu bahan atau buku yang mempunyai tarikannya yang tersendiri yang telah saya temui di perpustakaan UPSI. Buku tersebut bertajuk Tuan Haji Wan Su Othman : Penerima Anugerah Seni Negara 1997.

Keterangan di dalam buku tersebut mempunyai persamaan dengan apa yang telah diterangkan oleh En.Bakrie, Pensyarah Studio Kayu Halus kami. Tersebut merupakan keterangan atau bab-bab yang saya tekankan mengenai buku tersebut.

Falsafah Seni Ukir Wan Su

Islam adalah agama masyarakat Melayu. Mereka telah menerima Islam sebagai falsafah hidup dan sistem ketuhanan memusatkan keesaan hanya kepada Allah semata-mata.

Wan Su sebagai seorang sudah semestinya dia seorang Islam. Sebagai Melayu Islam, Wan Su yang amat mencintai seni ukir kayu mempunyai pegangan dan falsafah yang selari dan selaras dengan falsafah Islam. Walaupun dalam hal-hal tertentu beliau terlibat sama mengukir patung-patung wayang kulit dan ukiran-ukiran figuratif perahu hias semata-mata untuk hiasan.

Dalam sejarah pengukiran Wan Su banyak mengukir bentuk awan larat iaitu satu unsur alam yang memetik imej awan berarak yang bergumpal dan terapung tiupan angin. Awan itulahyang menurunkan hujan dan memberi manfaat kepada manusia dan makhluk lain di bumi. Demikian juga Wan Su dengan bantuan anaknya Wan Mustapha telah menghuraikan dan menjelaskan falsafah awan larat dalam pengukiran kayu yang dilakukannya.

Bagi Wan Su, hujung daun, hujung bunga, hujung pucuk, hujung buah atau apa-apa unsur yang berhujung tidak boleh menikam badan unsur-unsur yang lain. Pertikaman itu bukan sahaja boleh mencacatkan ukiran kayu tetapi secara tersirat beliau memberitahu bahawa penciptaan itu ingin menyampaikan mesej supaya tidak menimbulkan masalah kepada orang lain dalam hidup ini terutamanya hasad dengki, dendam kesumat, irihati, bangga diri dan angkuh sombong kepada orang lain.

Bagi mengukir pecahan batang, Wan Su mempunyai falsafah tersendiri. Ukiran di batang tumbuhan yang kedua mesti dikeluarkan di bawah batang yang pertama. Begitulah kelahiran batang yang ketiga dan seterusnya mestilah di bawah batang sebelumnya. Batang yang lebih muda mestilah lahir di bawah batang yang lebih tua. Pengukir ingin menyampaikan mesej bahawa orang-orang muda mestilah menghormati dan menghargai orang yang lebih tua dan orang yang lebih rendah pangkatnya mestilah menghormati orang yang berpangkat tinggi dalam susun lapis masyarakat ini supaya wujud keharmonian dalam kehidupan di dunia ini.

Kadang-kadang pelukis sengaja melukis sehelai daun di pecahan batang itu. Nama daun yang dilukis di pecahan batang itu dikenali sebagai sibardayang. Ini membawa pengertian bahawa manusia sebagai makhluk tidak boleh bersikap menunjuk-nunjuk dan berbangga diri kerana sifat yang terkeji ini kelak boleh menimbulkan kebencian orang lain terhadap diri kita serta boleh menyebabkan diri sendiri lupa daratan atau tidak sedar diri sendiri bahawa kita adalah makhluk Allah yang lemah dan tidak sepatutnya bersifat negatif begitu.

Dalam ukiran Wan Su juga terdapat ruang di antara satu objek dengan objek yang lain. Ini bertujuan bagi mengimbangi keseluruhan ukiran supaya kelihatan cantik. Di samping itu konsep ruang, mengikut Wan Su, bermaksud bahawa Allah Ta’ala telah mencipta ruang bagi didiami makhluk kerana ruang adalah tempat yang masih kosong. Tempat yang kosong itu merupakan satu sumber bagi manusia berfikir dan mempelajari sifat dan zat Allah Yang Maha Pencipta. Allah mencipta ruang dan ruang itu perlu diisi dengan makhluk kerana Allah tidak perlukan ruang kecuali makhluk yang memerlukan ruang. Ruang sebagai tempat kosong yang perlu manusia kaji dan fikir bagaimana untuk memenuhinya. Begitulah dalam hidup ini manusia perlu mengisi ruang yang ada dengan segala ilmu dan amanah yang bertujuan untuk tuntutan diri, keluarga dan masyarakat di samping mengisi ruang yang dituntut oleh Allah. Konsep hampir sama di antara ruang itu bermaksud sebagai satu ciri yang memaksa kita memelihara ruang supaya keindahan awan larat itu terpelihara dengan sempurna.

Lakaran awan larat mempunyai konsepnya yang tersendiri. Konsep pada batang, mengikut Wan Su, merupakan satu gambaran perkembangan dan pertumbuhan alam itu sendiri. Alam itu hidup, berkembang, membiak dan membesar dengan jurai-jurai keturunannya yang melata di bumi. Pertumbuhan dan perkembangan alam itu digambarkan oleh pengukir-pengukir Melayu di mana sifat dan bentuknya yang indah dirasai dengan akal dan hati bukan semata-mata dirasai dengan perasaan. Perasaan boleh tidak menentu dan tidak konsisten sedangkan akal dan hati lebih bergantung kepada ilmu dan amal. Begitulah panduan kepada kehidupan manusia supaya mencari ilmu dan mengamalkan ilmunya untuk memberi manfaat kepada manusia lain dan sekaligus ketaatannya kepada Allah yang memberi ruang kepada kehidupan manusia.

Konsep daun, bunga dan buah dalam lakaran awan larat menggambarkan kejayaan hidup di dalam alam itu sendiri. Kehidupan itu digambarkan sebagai sesuatu yang berhasil hingga wujudnya daun-daun hijau, bunga yang kembang semerbak baunya dan buah yang lazat dimakan dan boleh pula membantu makhluk menjalani kehidupannya sebagai makanan yang lazat.

Dalam amalan Wan Su awan larat mempunyai pelbagai jenis dan corak datau pola. Pertama, awan larat mesti dimulai dengan kepala kalak iaitu simbol permulaan sesuatu kejadian alam. Kejadian alam itu sendiri mesti ada permulaannya seperti tarikh kelahiran manusia, tarikh permulaan pembinaan sesuatu bangunan atau tarikh kematian dan tarikh perkahwinan. Berlainan dengan sifat Allah, tidak ada permulaan iaitu kidam, sifat sedia ada, tidak ada permulaan.

Kedua, awan larat beribu, iaitu sejenis awan larat yang dimulakan dengan ibu awan larat. Yang dimaksudkan dengan ibu awan larat itu ialah suatu tempat duduk ibu itu bersesuaian dengan ruang yang ada dalam keseluruhan ruang yang hendak diukir. Biasanya ia diukirkan di tengah ruang yang masih kosong. Ini sesuai dengan taraf keibuannya yang mengawal kesemua ruang yang ada. Di belakang ibu itu baharu dikeluarkan batang yang menjalar keseluruhan ruang itu. Permulaan batang itu mesti dimulai dengan kepala kalak, tetapi kepala kalak itu sudahpun dilindungi oleh ibu tersebut. Ibu awn larat merupakan satu unsur daripada tumbuh-tumbuhan yang dibentuk dalam saiz lebih besar daripada unsur-unsur yang lain. Jikalau ibu awan larat diambil daripada bunga, maka bunga itu mempunyai ukuran yang lebih besar daripada bunga yang lain. Begitu juga sekiranya ibu awan larat itu dimulai dengan daun atau buah, maka buah daun atau buah itulah yang lebih besar daripada daun atau buah yang lain. Falsafahnya bahawa sesungguhnya ada kejadian makhluk ini tidak dapat dikesan tarikh kewujudannya seperti langit, bumi, bulan, matahari, akhirat, neraka, sungai, luh mahfuz dan alam barzah. Kesemua ala mini tetap bersifat baharu kerana ia dijadikan bukan terjadi sendiri. Yang menjadikan alam adalah Allah. Tarikh kelahirannya bermula daripada tidak ada kepada ada. Pencipta seni ukir dahulu merakamkan konsep ini ke dalam ukiran mereka dengan tujuan memberi pengajaran kepada manusia supaya mengejapkan keyakinan mereka kepada yang menjadikan sesuatu itu iaitu kepada Allah Ta’ala. Kerana Allah itu bersifat kidam iaitu sediakala, yang tidak bermula dan tidak berakhir.

Ketiga, awan larat sorok punca iaitu sorok kepala kalak. Jenis awan larat ini yang digambarkan tidak diketahui permulaannya walaupun ia ada dimulai meletakkan kerja mengukir tersebut. Begitulah dengan penulisan huruf kosong dan nombor lapan yang tidak dapat dikesan permulaan penulisan huruf tersebut berlaku. Falsafahnya sama seperti falsafah yang diterangkan berkenaan dengan awan larat beribu yang sukar dikenalpasti permulaan sesuatu itu walaupun permulaan itu wujud kerana ia bersifat baharu.

Motif Ukiran Wan Su

Seniman adalah alam. Tumbuhan-tumbuhan adalah alam. Alam tidak semestinya seniman dan alam juga tidak semestinya tumbuh-tumbuhan. Dari alam, seniman belajar, mengabadi dalam karyanya, mentafsir dan menterjemahkan alam secara halus lagi berseni, secara silat lagi terpahat, secara bijaksana lagi penuh hikmah. Media seniman adalah karyanya. Sebagai pengukir Wan Su menyampaikan pengalaman alamiah ini melalui lukisan dan ukiran. Beliau menterjemahkan alam yang terbentang luas ke dalam lukisan dan ukirannya secara halus lagi berseni yang menuntut kesabaran dan kesetiaan seorang seniman yang tak kenal jemu dan bosan. Sumber ilham beliau adalah alam sekitar, umpamanya tumbuh-tumbuhan yang hidup subur dan makmur di bumi Allah Yang Maha Pemurah dan Penyayang.

Tumbuhan-tumbuhan yang dijadikan bahan ukiran yang tumbuh di sekitar kawasan rumah dan di sekitar tempat yang sering dikunjungi beliau sama ada di belantara atau di tepian sungai atau di semak samun yang difahaminya kerana keilmuan alamiah atau kerana dipelajarinya secara berguru. Tumbuhan yang sering dijadikannya bahan ukiran ialah seperti ketumbit, ketam guri, kala bukit, bunga mas, bunga raya, bunga tahi ayam, senduduk, kapal terbang, bunga melur, kenanga, kenerak, tikam seladang, misai kucing dan rama-rama.

Pemilihan motif tumbuh-tumbuhan ini bergantung kepada niat pencipta karya tersebut atau bergantung kepada permintaan pihak yang memerlukannya. Motif-motif yang dipilih bertujuan, pertama, bagi mengingati bahawa tumbuh-tumbuhan itu memberi manfaat kepada manusia kerana pokok itu boleh dijadikan ubat dan penawar racun. Antara pokok yang dipilih bagi motif ini ialah ketumbi, ketam guri, kapal terbang, uju-uju, dan senduduk. Masyarakat Melayu tradisional percaya bahawa tumbuh-tumbuhan merupakan ubat dan penawar racun yang mujarab bagi mengubati penyakit-penyakit tertentu seperti demam, cirit-birit, keracunan makanan, darah tinggi, kencing manis dan karang. Pengukir mengabadikan tumbuh-tumbuhan yang boleh dijadikan ubat dan penawar racun ini ke dalam karyanya sebagai tanda mengenal dan mengingati tumbuh-tumbuhan tersebut sebagai ubat yang mustajab.

Kedua, kerana kelazatan buah atau keharuman bunganya, tumbuh-tumbuhan merupakan sumber makanan utama masyarakat Melayu tradisional. Tumbuh-tumbuhan juga mengeluarkan bunga yang harum semerbak, dan keharumannya dapat memikat hati dan perasaan manusia. Lantaran iu, tumbuh-tumbuhan seperti bunga tanjung, melur, sukun, tikam seladang dan kenanga diabadikan oleh pengukir.

Ketiga, untuk mengingati sesuatu peristiwa yang terjadi kepada seseorang sama ada peristiwa itu pahit atau manis. Peristiwa yang terjadi itu biasanya berdekatan dengan pokok-pokok yang besar seperti percintaan dan pergaduhan. Pengukir mengukir semula perkesahan itu dengan mengukir pokok-pokok besar tersebut sebagai tanda ingatan yang berkekalan dalam sejarah hidup seseorang yang membuat tempahan tersebut. Pokok yang sering kali dijadikan sebagai motif ukiran ialah pokok kenanga, tanjung dan keledang. Wan Su pernah mengukir pokok keledang di Istana Sultan Terengganu, “Panca Bersiram Tabal Sultan Terengganu” iaitu Istana Maziah sebagai tanda ingatan pemakaman Almarhum Sultan Terengganu pertama yang dimakamkan di atas Bukit Keledang, Kuala Terengganu.

Keempat, pengukir juga mengabadikan ukiran kerana keindahan bentuk daun, bunga dan buah tumbuh-tumbuhan tersebut. Keindahan adalah lambang kepuasan hati dan perasaan. Tumbuh-tumbuhan yang digolongkan sebagai lambang keindahan yang terdapat pada daun, bunga, dan buahnya ialah bunga raya, kapal terbang, kapas, senduduk, tahi ayam, misai kucing, rama-rama, bunga mas, kenanga, peria, ketam guri dan ketumbi.

Kelima, motif bunga kreasi baru untuk tujuan keindahan tidak mengkhusus kepada sesuatu jenis tumbuh-tumbuhan tertentu. Ukiran ini boleh diadunkan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan tertentu. Ukiran ini boleh diadunkan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan supaya apabila diukir kelak ia kelihatan indah kerana keindahan itu sudah menjadi sifat semulajadi manusia yang gemarkan sesuatu yang indah. Lantaran itu, pengukir mengabadikan dalam bentuk lukisan atas permintaan atau pengesyoran pengukir kepada pelanggan.

Rujukan

Urusetia Anugerah Seni Negara, 1997. Tuan Haji Wan Su Othman: Penerima Anugerah Seni Negara 1997. Malaysia: Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Perlancongan

Abdul Halim Nasir, 1987. Tradisional Malay Wood Carving. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Soepratno, B. A, 1986. Mengenal Budaya Bangsa Indonesia: Ornamen Ukir Kayu Tradisional Jawa Ketrampilan Menggambar dan Mengukir Kayu. Indonesia: PT. EFFHAR Semarang

No comments:

Post a Comment